Pages

Monday, December 13, 2010

Kerana Indahnya Pelangi

Petang itu hujan lebat menyimbah bumi Shah Alam, Selangor, salah sebuah negeri yang terletak di selatan tanah air semenanjung Malaysia.

Kedudukan yang strategik ini menjadikan Selangor negeri yang paling pesat, dek kerana jumlah penduduk yang ramai dan pembangunan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan setiap tahun.

Tidak hairanlah negeri ini agak panas berbanding negeri-negeri lain, kerana terjadinya pulau haba bandar.

Sudah hampir setahun aku di negeri ini, menjadi penuntut di UiTM Shah Alam dalam program asasi kejuruteraan.

Cuaca sejuk semasa hujan ini sememangnya dinikmati sebaiknya oleh semua penuntut.

Ada yang sudah menarik selimut, bersedia untuk memejamkan mata, ada yang meneruskan 'study' namun tidak kurang pula yang mengambil kesempatan untuk duduk seorang diri sambil merenung ke arah hujan, memikirkan rahmat di sebalik hujan itu dan penciptanya.

Subhanallah, sesungguhnya setiap yang diturunkan oleh Allah ada rahmat dan kebaikan di sebaliknya.

Guruh yang berdentum dan kilat sabung-menyabung benar-benar menggangu konsentrasiku untuk belajar. Aku lantas menutup tingkap dan menurunkan langsir, bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

Aku kemudian duduk kembali di meja studyku dan beristighfar panjang, moga-moga hatiku ini tidak terlintas untuk memarahi Allah kerana menjadikan guruh dan kilat.

Terus aku teringat akan kata-kata Heliza dalam filem Syurga Cinta...

"Kadang-kadang Allah turunkan hujan, ditambah dengan guruh, siap dengan kilat lagi... kita tertanya-tanya Kemana perginya matahari? Rupanya Allah mahu memberikan kita pelangi yang indah"

Aku tersenyum sendirian, kerana ungkapan inilah yang menjadikan aku disini hari ini.

Aku punya kisah di sebalik kata-kata itu. Mungkin bagi orang lain, ungkapan ini nampak biasa, tapi bagiku ia besar maknanya.

Ciptaan Allah yang begitu indah

Hingga hari ini, tidak ada seorang saintis pun yang mampu menyaingi pelangi ciptaan Allah.

Sesungguhnya, dari situ kita dapat lihat betapa Allah tuhan yang Agung dan Esa.

Segala memori lalu masih segar dalam ingatanku. Kisah bermula semasa di alam sekolah menengah lagi.

Dengan izin Allah, berbekalkan keputusan UPSR yang cemerlang, aku ditawarkan ke salah sebuah SMKA di negeri utara tanah air.

Pada mulanya aku agak terperanjat.

"Adoiii... sekolah agama lah pulak... Confirm tudung labuh ni... parah-parah... "Aku mengharapkan agar ditawarkan ke salah sebuah sekolah berasrama penuh, kerana kakak sulungku juga bersekolah di sekolah berasrama penuh.

Ummi dan abahku bertanya sama ada aku mahu masuk sekolah itu atau sebaliknya. Lidahku kelu untuk bersuara. Nak diikutkan hati, tidak sangat tetapi kalau tak dapat tawaran lain, tak ke malu dengan kawan-kawan yang dah dapat masuk asrama.

Lantas aku menjawab "Macam ni lah ummi, abah... kak ngah nak tunggu sampai minggu depan... kalau tak dapat tawaran mana-mana jugak, kak ngah pergi sekolah tu. "

Ummi dan abahku tersenyum, dan aku pula serabut memikirkan apa yang bakal berlaku.

Benar seperti apa yang sering dikatakan, janji Allah tidak siapa yang bisa mengubahnya, walau sekuat mana kuasa sesorang itu.

Sudah ditetapkan oleh Allah sejak azali, aku ditempatkan di sekolah agama tersebut. Selama 5 tahun berada di sekolah itu, aku diajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan baru.

Di sana, kami didedahkan dengan solat jemaah, usrah, tazkirah, majlis-majlis ilmu dan pelbagai lagi aktiviti keagamaan.

Seperti salah satu ayat Al-Quran

"Ingatlah sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

Aku benar-benar terkesan dengan ayat ini.

Benar, aku sendiri akui aku bukanlah baik sangat sebelum ini, cuma aku bersyukur kerana dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan agama dalam kehidupan.

Justeru, mudah untuk aku terima semua yang berkaitan agama suci ini.

Semakin lama mempelajari semua ini, aku sendiri dapat menyedari perubahan dalam diri.

Hatiku menjadi sangat lembut, mudah tersentuh dengan apa sahaja dan yang paling aku syukuri hati ini juga yang kadang-kadang menangis memikirkan dosa-dosa lalu dalam solat-solat malamku.

Syukran Ya Allah... Syukran... terima kasih kerana menganugerahi aku hati ini dan semoga kau lindungi dan pelihara hati ini dari terjerumus ke jalan-jalan yang tidak diredhai olehmu. Amin...

Langit tak selalunya cerah

Hidup tak selalunya indah, kerana hidup ini umpama roda. Ketika berada di atas, jangan terlalu bermegah kerana kita mungkin berada di bawah, dan ketika di bawah, percayalah suatu hari nanti kita boleh berada di atas.

Akan tetapi fitrah manusia biasa, mahukan yang baik dan indah belaka. Semakin kita mendekatkan diri kepada Allah, semakin banyak ujian dan dugaan yang datang, untuk menguji sejauh mana keimanan dan kebergantungan kita kepada Allah.

Kata orang, ujian itu sebenarnya tanda kecintaan Allah kepada kita.

Tahun 2009 adalah tahun yang amat penting bagiku dan juga rakan-rakan sebayaku. Tahun ini, kami akan menjalani satu peperiksaan yang bakal menentukan hidup kami, iaitu SPM.

Tahun ini juga menjadi titik-tolak pengislahan sebenar kepada diriku. Dugaan pertama datang ketika keputusan peperiksaan percubaan SPM diumumkan.

Aku merasakan seperti ada yang tidak kena. Hatiku gundah gulana, resah memikirkan apakah keputusan peperiksaanku.

Biarpun hanya peperiksaan percubaan, ia amat penting kerana soalan-soalan merangkumi semua topik tingkatan 4 dan tingkatan 5. Justeru, aku anggap ia seperti SPM sebenar.

Ketika keputusan dipaparkan, aku lihat dari jauh rakan-rakan ku berebut-rebut mencari nama dan melihat keputusan.

Lantas sahabat baikku, Izzah Hanani mengajakku melihat keputusan.

"Eh Ira, hari ni result keluar kan. Jom kita pergi tengok nak. Izzah rasa dah ramai yang tau result diorang. Kita je belum tau. Jomla.."

Aku berhenti menulis dan memasukkan pen yang dari tadi rancak bergerak untuk menulis nota syariah islamiah di dalam 'pensel case' biru kesayanganku.

Kalau diikutkan hati, entah mengapa agak berat untuk aku pergi namun memikirkan sahabat baikku sejak tingkatan satu itu beriya-iya mengajak, aku gagahkan jua kaki ini.

Kami bersahabat sejak tingkatan satu. Ketika di tingkatan 3, Alhamdullillah kami berdua berjaya mendapat 9A dalam PMR dan diletakkan di kelas yang sama juga di tingkatan empat.

Ketika dalam perjalanan melihat result, sahabatku bertanya;

"Kenapa ngan Ira hari ini, senyap je... selalu dia yang banyak mulut... time result plak selalu dia orang yang semangat... hari ni monyok je"

Aku tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Sebetulnya fikiranku kosong.

"Entahlah Izzah, hati ni rase tak sedap je... takut dapat result teruk... hari tu jawab macam tak yakin jew... "

"Oh... itu sebabnya monyok je... takpelah Ira... Ira dah buat yang terbaik... dah usaha dan doa... sekarang tinggal tawakkal je... apa pun keputusan Ira, anggaplah ia yang terbaik dari Allah... kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya... ingat tu..." lantas memeluk bahuku dari belakang.

Begitulah indahnya berukhwah, andai diikhlaskan kerana Allah. Pasti Allah menghadiahkan kita seseorang yang dapat membuat kita tersenyum ketika dalam kesedihan.

Ketika dalam perjalanan itu, kami berselisih dengan Ayu, rakan kami dari kelas 5 Al-Khawarizmi, yang juga roommateku. Nampak tersenyum-senyum bahagia je Ayu tu. Mesti result ok, fikirku.

"Ayu, dah tengok result ke?"Izzah memulakan bicara, sekadar menyapa kerana kami bukanlah rapat sangat.

"Dah... korang belum ke? aku dapat 8A... no dalam form no 7... saiful pun dapat 8A, no dalam form no 5... beza sikit je... yahoo!!sukanya aku... tu lah, sekarang terbukti kan... walaupun korang sibuk-sibuk nasihat kat kita orang yang couple-couple ni, result kita orang maintain tau... lepas ni kan ira, bolehla kau cakap kat kawan-kawan BADAR (Badan Dakwah Dan Rohani) ko tu... tak yah sibuk-sibuk nak nasihat dan cegah-cegah maksiat ni... buang masa... terbukti couple ni taklah salah seperti yang korang suka hebohkan tu... silap hari bulan, lepas ni ahli-ahli badani yang jadi 'hot couple' kat sini... haha..." Ayu ketawa besar lantas melangkah meninggalkan kami.

Aku tunduk dan beristighfar panjang atas tuduhan yang dilemparkan. Benar kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Meskipun bersekolah di sekolah yang ada tertulis A (SMKA), tidak semua penuntut akhlaknya "A".

Kerap kali dihidangkan dengan tazkirah dan perkongsian ilmu yang membincangkan azab Allah akan sesiapa yang melakukan larangannya, namun sebahagian dari kami masih tegar malah tanpa segan silu ber 'couple', berkirim surat dan lain-lain yang membawa kepada zina hati. Nauzubillah, semoga aku terlindung dari golongan itu.

Izzah yang menyedari perubahan air muka di wajahku terus memujuk.

"Alah... biarlah Ayu tu nak cakap apa... macam la Ira tak tahu mulut dia memang laser... sabar je... Allah sayang tau orang yang sabar... tak baik kalau Ira simpan dendam... nanti ada titik hitam dalam hati... jom cepat kita pergi tengok... masa rehat tinggal 10 minit je lagi ni... kejap lagi time fizik... Teacher Haniza tu kang, kalau masuk lambat... tahu-tahu jela... silap-silap belajar kat luar kelas kita hari ini..."

Aku tersenyum mendengar kata-kata Afiqah.

Aku tersentak dan terus terduduk di atas kerusi batu yang diletakkan berhampiran dengan papan kenyataan peperiksaan itu. Apa? 5A je aku dapat? Astaghfirullah... biar betul ni... Ya Allah, hebatnya ujian kau kali ini... berilah aku kekuatan... Sesampainya kami di sana, kawan-kawanku masih ramai.

Dengan bersesak-sesak, aku berusaha mencari nama ku. Aku mencari namaku di helaian pertama di penjuru kanan, yang memaparkan nama pelajar-pelajar dari no 1 hingga no 20... kira 'top20' dalam form lah... Hah! nama aku tak de? Biar betul ni, tak kan tercicir kot. Selalu nama aku dalam senarai top 10, paling tidak top 20.

Kenapa kali ni tak de? Dalam helaian itu, dapat aku lihat nama Izzah berada di tempat ke-3 dengan 10A... Oh, tahniah sahabatku... macam mana pulak ngan aku? Aku terus melihat ke helaian seterusnya di sebelah dan aku terkejut melihat namaku berada di atas sekali, bermakna aku dapat no 21 dalam form!!

Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku. Seolah-olah aku mahu menjerit sekuat hati. Mahu menangis dan meraung sepuasnya... Biar semua orang tahu betapa kecewanya aku dengan result itu.

Pada mulanya hanya beberapa titik air mataku gugur, namun ketika melihat Izzzah melangkah gembira ke arahku, mutiara jernih yang aku tahan-tahan sejak dari tadi turun lebat membasahi pipiku. Oh sahabatku, seandainya kau tahu perasaanku ketika ini...

"Ira, Izzah dah tengok result kita dua. Ira sabar ye, mungkin bukan rezeki Ira kali ini... "ucap Izzah tenang

"tapi kenapa Ira, Izzah??... kenapa Ira... kenapa bukan orang lain, kenapa? Apa salah Ira? Apa dosa Ira? Cakap Izzah, cakap..."

"Ira, ingat Allah, tak baik Ira macam ni. Seolah-olah Ira tak redha dengan apa yang Allah bagi. Kan semua ni datang dari Allah, siapalah kita untuk mempertikaikannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Ira kena sabar dan kuat"

"Memang Ira tak redha, memang Ira marah, marah sangat-sangat, Izzah cakap senangla. Izzah dapat result ok, sesiapa yang dapat result ok memang akan cakap macam tu!!!!!!"

Aku menjerit sekuat hati, melepaskan perasaan yang dari tadi terbuku. Aku tidak menghiraukan lagi rakan-rakan kami yang melihat aku menjerit. Pasti mereka terkejut, tidak pernah melihat aku dalam keadaan sebegitu.

Aku berlari pergi membawa diri sambil menangis, kemana harus aku membawa diri, aku sendiri pun tidak tahu, biarlah... biarlah apa orang nak kata... biarlah kaki ini yang menentukan arah langkahku...

Cuma dalam fikiranku, ada satu tempat yang terlintas. Tempat yang menjadi penenang hati buat setiap insan. Tempat yang menjadi rumah kedua selain asrama kepada pelajar di sini, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Aku pasti, aku pasti akan ke situ, lantas mempercepatkan langkah sambil mengelap air mata yang masih lagi turun.

Izzah yang aku tinggalkan terpinga-pinga, melangkah longlai masuk ke dalam kelas. Bukan tidak mahu memujuk, tapi melihat aku dalam keadaan begitu, dia lebih matang dalam membuat keputusan. Moga-moga kau dapat tenangkan diri sahabatku, doanya untukku.

"Ok kelas, saya mintak maaf. Hari ni saya tak dapat mengajar sebab ada mesyuarat dengan pengetua tentang rumusan peperiksaan percubaan kamu semua. Saya nak nanti Zulhilmi, pergi meja saya dan ambil 'worksheet'. Saya dah siapkan, ada 25 soalan semuanya merangkumi topik-topik tingkatan lima. Dan saya nak, kerja tersebut mesti dihantar atas meja saya apabila masa saya tamat. Jelas kan arahan saya?"

"Bermakna kamu semua tak boleh keluar dari kelas dan mesti siapkan kerja yang diberi. Kalau boleh buat sendiri dan jangan tiru kawan, kerana dari situ kamu dapat tahu kelemahan kamu dimana. Kelas berikutnya saya akan bincang soalan-soalan yang tak dapat dijawab."

"Faham semua? saya tak nak lepas mesyuarat nanti saya dengar ada cikgu-cikgu yang komplen kelas 5 Al-Farabi bising. Kamu kelas yang terbaik, mesti tunjukkan peribadi yang elok juga, saya keluar dulu" tegas kata-kata yang dituturkan oleh cikgu fizik yang kami panggil Teacher Haniza itu.

Di sebalik ketegasannya itu, dia seorang yang yang sangat penyayang. Berkat ketegasannya juga, keputusan fizik kelas kami tidak pernah mengecewakan.

Di masjid, aku duduk menyandar di dinding sambil memeluk kaki. Meskipun sudah berhenti menangis, aku belum bersedia untuk ke kelas, di tambah pula dengan mata yang bengkak dan muka yang merah. Di saat keseorangan sebegini, bermacam perkara bermain di fikiranku.

Aku pantas mengingat kembali peristiwa yang berlaku. Yang pasti, aku mendapat result yang teruk hari ini.

Ya Allah, besarnya ujian yang kau berikan hari ini. Apakah dosaku Ya Allah? Aku study, aku solat, aku doa, aku hormati guru malah aku tidak pernah terlibat dengan couple-couple, serba- serbi aku jaga. Apa lagi yang tidak cukup? Aku bermonolog sendirian.

"Benar kau sudah study, doa, solat... tapi mungkin Allah belum kabulkan permintaan mu. Sabarlah.. dia akan makbulkan, cuma masanya belum tiba. Dia mahu kau terus berdoa dan meminta daripadanya. Sesungguhnya Allah rindu untuk mendengar rintihan hambaNya. Dugaan ini untuk mendekatkan diri kau dengannnya" suara imanku berbicara.

"Ahh... lagi-lagi usaha, balik-balik doa, bosanlah kalau macam ni, kau dah buat semua tu, sepatutnya kau dapat ganjaran yang setimpal!.." syaitan mula membisikkan kata-kata hasutan

"Astaghfirullahalazim... tak baik kau marah sebegini, andai kau marah, pada siapa kau marah? pada Allah bukan? layakkah kita untuk memarahiNya, sedangkan Dia yang mencipta dan memberi nikmat kepada kita? Setiap yang datang itu dari Allah, sepatutnya kau bersyukur, bukan mengeluh sebegini. Masih ada kawan-kawan yang lain dapat result lagi teruk dari kau, tapi mereka sabar dan redha" Iman masih cuba memujuk.

"Alah... kau tu je yang kononnya baik sangat... solat jemaah, join usrah, hormat guru, tak nak couple-couple, bukan apa sangat pun... cuba kau lihat kawan-kawan kau yang lain, couple juga tapi result lagi gempak dari kau... kalau betul Allah sayangkan kau, Dia tak bagilah ujian macam ni, sedarlah sikit... "

"Jangan terpedaya dengan kata-kata syaitan itu. Kuatkan iman, ingat apa yang kau pelajari dan dengar dalam tazkirah-tazkirah . Ujian yang datang mungkin sebagai teguran lembut dari Allah. Mungkin cara study salah, dan mungkin juga ada kesalahan-kesalahan kecil yang kau abaikan... Allah mahu kau muhasabah diri... Andai tak diberi ujian begini, kau tidak akan sedar, kau akan rasa kau selalunya betul sedangkan tidak... kerana kau hanya insan biasa yang lemah, kau bukan seperti nabi yang maksum!!"

"Tapi Allah sendiri dan janji dengan firmannya.. berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan doamu... Hah, Allah sendiri dah janji tapi tak bagi pun. Allah dah memungkiri janji kepada kau!! Allah tak adil! buat apa lagi kau ikut perintahnya, Dia tak pedulikan kau lah..."syaitan belum mahu mengalah.

"MasyaAllah, sekali lagi jangan kau marah pada tuhan, mengucap... beristighfar... Yaa... Allah memang sudah berfirman akan memperkenankan doamu... namun kau harus ingat, Allah juga ada 99 sifat mulia. Dia tuhan Yang Maha Mengetahui dan Yang Memberi Rezeki.. Kaji pula firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 284-286. Antara firmannya:-

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala( dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa(dari kejahatan) yang dikerjakannya..."

Allah mengetahui yang kau boleh memikulnya... Yakinlah, jangan kau berputus asa.. Ini baru dugaan yang kecil...

Lupakah engkau, semasa zaman rasulAllah dahulu, lebih hebat ujian yang ditempuh oleh nabi kita dan sahabat-sahabat... kemiskinan, kematian keluarga, sahabat di medan perang... tapi mereka tidak kecewa, tidak resah... malah redha dengan ketentuan Allah, hingga sebahagian dari mereka telah pun dijanjikan masuk syurga... "

Aku tersentak ketika mendengar suara seseorang yang cukup aku kenali memberi salam.

"Assalamualaikum... Izzah dah agak Ira kat sini" katanya lembut sambil menyusun langkah kearahku.

"Waalaikumsalam... Teacher tak masuk kelas ke?" soalan pertamaku kepada Afiqah...

"Tak, cikgu-cikgu ada mesyuarat, tapi teacher ada tinggalkan kerja dan mesti dihantar hari ni... jomla kita balik kelas, nanti Ira tak sempat nak siapkan kerja tu. Ira ok kan? Izzah yakin kawan baik Izzah ni kuat orangnya."

"Entahlah Izzah... kadang-kadang Ira rasa Allah tak sayang kat Ira... Dia tak bagi apa yang Ira nak... Buat apa Ira study lagi, study bagai nak pecah kepala, tengok-tengok result dapat 5A je..." Entah kenapa, kata-kata itu lancar sahaja keluar dari mulutku.

"Ira, sekali lagi Izzah cakap... Ira kena redha, memang susah untuk capai redha ni, tapi usahalah kearah itu. Mungkin hari ni rezeki Izzah, esok lusa siapa tahu rezeki Ira pulak... bumi Allah ni luas Ira, rezeki ada di mana-mana... Yakinlah dengan janji Allah, ingat prinsip hidup kita."

"Put our trust to allah and remember.. allah always be our side"

Serentak kami menyebut pegangan hidup kami bersama. Kata-kata inilah yang banyak menjadi pendorong kejayaan aku dan Izzah hingga hari ini.

"Hah... macam tulah orang yang kuat... kuat melawan tipu daya syaitan... kuat juga melawan hawa nafsunya... bukan sekadar kuat fizikal, tapi yang lebih penting kuat untuk bangun setelah jatuh. Dah, jom cepat. "

"Hah... padan muka kau syaitan... hari ni seorang anak adam tak berjaya kau hasuti..." Aku berkata sendirian...

Aku menadah tangan tanda kesyukuran kepada Allah, menganugerahi aku seorang sahabat yang bukan sahaja cantik, bijak, malah membantu aku mencari semula cahaya disebalik kegelapan.

"Kalau Izzah tak datang tadi, mesti aku dah ikut cakap syaitan untuk terus 'stay' kat masjid dan ponteng kelas. Syukur Alhamdulillah... "

Malam itu seperti malam-malam rabu yang biasa, jadual aktiviti masjid adalah ceramah agama.

Dalam organisasi BADAR, aku dilantik menjadi timbalan ketua biro lajnah masjid.

Semua yang berkaitan masjid dibawah tanggungjawabku seperti kebersihan, keceriaan, peralatan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di masjid, termasuk ceramah.

Malam itu, aku berasa tidak sedap badan. Maklumlah, sudah seharian aku menangis. Namun, amanah harus dijalankan.

Dengan bantuan Izzah, aku memanggil Hafiza, AJK di bawahku untuk memberi pesanan.

"Hari ni akak tak berapa sihat la. Fiza 'handle' masjid ye. Panggil semua pelajar berkumpul dan rapat kehadapan... Pastikan mereka tidak bising semasa ceramah. Pesan pada mereka, sesiapa yang bising akak akan panggil untuk bagi kesimpulan dari ceramah ustaz masa perhimpunan ahad nanti. "

"Oh... itu kerja senang je... selalu nampak akak je handle, teringin jugak berada depan semua pelajar... Hehe... Akak jangan risau, Fiza akan buat dengan baik"

"Terima kasih" ucapku ringkas.

Ceramah dari Ustaz Zukilan, salah seorang ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Al-Quran dan Sunnah di sekolahku merupakan antara ceramah yang digemari oleh kami pelajar-pelajar kerana cara penyampaiannya yang menarik dan bersahaja.

Sebelum menunggu ustaz datang, aku menoleh ke arah belakang, meninjau keadaan pelajar puteri. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan terurus.

Hampir separuh dari mereka memegang pen dan kertas, bersedia untuk mencatat isi-isi penting dari ceramah ustaz. Pastinya mereka tidak mahu dipanggil untuk memberi ulasan. Aku tersenyum.

Nampaknya Fiza menjalankan tanggungjawab yang aku berikan dengan baik.

"Assalamualaikum anak-anak sekalian..."Ustaz Zukilan memulakan bicara.

"Waalaikumsalam ustaz..." kami ramai-ramai menjawab salam yang diberikan, kerana semua orang tahu menjawab salam itu wajib hukumnya.

"Alhamdulillah, dengan limpah dan kurnianya kita dapat bertemu seperti malam-malam rabu yang lepas. Hari ni ustaz nak membincangkan tajuk yang ustaz rasa, sangat menarik. Tajuknya adalah 'Qada' dan Qadar dari Allah, sejauh manakah kita beriman dengannya?"

Aku begitu terkejut dengan tajuk yang dibincangkan malam ini lantas terus menoleh dan memegang tangan Izzah. Sebolehnya aku mahu keluar sahaja dari masjid. Dia yang memahami keadaan diriku, mengeratkan genggaman dan mengusap-usap belakang tubuhku.

Mengapa mesti tajuk ini? Seolah-olah ada kaitannya dengan apa yang berlaku dalam hidupku hari ini.

"Hah... ustaz pasti setiap orang pasti diuji oleh Allah kan... Cuma bentuk ujian yang diterima oleh setiap insan itu tidak sama. Dan masa seseorang menerima ujian itu juga tidak sama. Kita mugkin lebih dari segi ini, tetapi kurang pula pada bahagian lain. Kalau kita kekurangan dalam sesuatu, jangan rasa lemah, kerana Allah telah menjadikan kita dengan sebaik-baik penciptaan. Pastinya kita boleh memperbaiki diri untuk menjadi orang yang berjaya... InsyaAllah... Ketika kita ditimpa ujian, jangan kita mengeluh kerana ujian itu boleh bertukar menjadi rahmat seandainya kita redha menerimanya."

"Ustaz bagi satu contoh, katakanlah kamu 'plan' nak keluar dengan kawan-kawan masa cuti penggal nanti... Kira plan yang habis-habisan la... nak shopping, tengok wayang, main bowling dan macam-macam lagi la... Last-last masa hari yang dijanjikan tu kamu tak dapat pergi sebab hujan lebat... kamu mesti rasa sedih, frust, kecewa dan marah. Kiranya ini ujian untuk kamu la... tapi, sebenarnya kamu tak sedar di sebalik hujan itu ada rahmatnya."

"Mungkin seandainya Allah tak turunkan hujan, kamu akan pergi dan memandu dalam keadaan laju. Akibatnya terlibat dengan kemalangan. Nah... itulah rahmatnya, Allah sayangkan kamu dan mahu memanjangkan nyawa kamu... tidakkah kamu sedar?"

"Namun kondisi kita hari ini jauh berbeza dengan konsep islam yang sebenarnya. Setiap ujian yang datang, manusia akan mula menyalahkan orang lain. Kadang-kadang yang lebih dahsyat menyalahkan Allah."

Ingat firman Allah yang berbunyi, "Mungkin sesuatu yang kamu rasa baik bagimu adalah buruk di sisi Allah dan sesuatu yang buruk bagimu adalah baik di sisi Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui"

Oleh itu, kita kena anggap ujian yang Allah bagi pada diri kita ni sebab dia sayang dekat kita. Dia nak hambanya tak terpesong jauh, kembali mengingati diriNya.

Sepatutnya kita seronok bila dapat ujian, tandanya Allah masih ingat dekat kita walaupun kita dah banyak buat dosa. "terang Ustaz Zukilan panjang lebar.

Kata-kata ustaz membuatkan aku berfikir kembali dan timbul rasa penyesalan. "Tak sepatutnya aku marah atas apa yang berlaku... aku kena redha dan muhasahabah diri... Ya Allah... aku bertaubat kepadamu... ampunkan dosa hambaMu ini... "

Selasai ceramah ustaz, kami solat isya' berjemaah. Itulah uniknya bersekolah di sekolah yang mementingkan aspek agama dalam kehidupan seharian.

Di sebelah pagi, kami berusaha bersunguh-sungguh mencari ilmu duniawi, sebelah malamnya mula diisi dengan pelbagai aktiviti kerohanian untuk memperoleh ilmu akhirat.

Barulah stabil kedua-duanya, selain membantu pelajar-pelajar di sini mencapai kejayaan yang sebenar dalam hidup. Malam itu aku solat sunat taubat. Memohon bersungguh-sungguh kepada Allah agar diampunkan dosa, kerana siang tadi aku mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa syirik kepada Allah.

Itulah hebatnya godaan syaitan, andai iman tidak kuat untuk melawannya, entah kemana diri ini dibawa ke jalan yang sesat.

Dua bulan berlalu, aku tinggalkan kesedihan atas keputusan peperiksaan percubaanku dan bangun menjadi insan yang lebih kuat. Aku gandakan usaha dan doa, moga Allah permudahkan segala urusan.

Hari ini hari bersejarah dalam hidup aku dan rakan-rakan. Persiapan sudah rapi, senjata sudah diangkat, tunggu masa untuk digunakan. Kami melangkah masuk menuju medan perang yang sebenar, iaitu Dewan Saidina Ali.

Dewan yang menjadi tempat untuk kami berjuang, juga dewan yang menjadi saksi atas kejayaan cemerlang pelajar-pelajar ketika keputusan diumumkan. Kami menjawab dengan sehabis baik, berbekalkan ilmu yang diperoleh selama 5 tahun.

Kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang belajar 5 tahun disini, biarlah pulang membawa berita gembira. InsyaAllah.

Selasai peperiksaan selama 2 minggu, kami pulang ke rumah masing-masing. Sebelum berpisah, kami mengadakan salam ukhwah yang begitu sinonim disini. Kami berpelukan, memohon maaf dan berterima kasih sesama sendiri.

Selama 5 tahun tinggal di bawah satu bumbung, pastinya banyak kenangan pahit dan manis yang tidak akan kami lupakan. Aku dan Izzah sempat bertukar hadiah, memandangkan dia akan berpindah ke Rawang atas urusan kerja ayahnya.

Aku menangis, tidak sanggup berpisah dengan sahabat yang sudah aku anggap seperti ahli keluarga sendiri. Dalam suasana begitu, Izzah sempat membuat lawak dengan mengatakan dia berpindah di dalam Malaysia sahaja, bukan ke luar negara.

Masa berlalu begitu pantas. Cuti 3 bulan selepas peperiksaan SPM sudah tamat. Tibalah masa yang dinanti-nantikan, iaitu keputusan peperiksaan SPM.

Pagi itu, aku bersiap untuk ke sekolah. Jantung di dada berdegup kencang, sehinggakan malam sebelumnya aku sukar melelapkan mata. Izzah sudah ada di salah sebuah rumah kawan kami. Jika dia bertolak dari Rawang pagi itu, mungkin dia tak sempat untuk berjumpa dengan aku dan kawan-kawan yang lain.

Aku menutup perlahan pintu kereta setelah sampai. Debaran di dada masih terasa.

"Ummi, kak ngah nak baliklah. Takut lah ummi"

"Lah, kan dah sampai ni. Tak nak tengok result pulak. Apapun yang terjadi, ingat itu yang terbaik dari Allah. Cepatla, nanti tak sempat jumpa kawan-kawan. "

"Macam mana kalau result tak ok?Ummi marah kak ngah tak?"

"Ya Allah budak sorang ni. Banyak sangat tanya. Ummi tak marah, kak ngah dah usaha dan doa. Result tu tetap kena ambil, walau jauh mana kak ngah nak lari sekalipun. Jom ummi temankan masuk dewan"

Di dewan, aku dapat lihat pelbagai reaksi. Ada sahabat-sahabat ku yang ketawa gembira, ada yang sedang menelefon dan ada juga yang sedang berpelukan dengan ibu bapa mereka sambil menangis. Menangis? Gembira atu duka? "Alamak, macam mana pulak dengan aku nih."

Dari jauh, aku lihat guru kelasku, Puan Azliza melambai tangan kearahku. Aku menyusun langkah kearah beliau. Sesampainya di sana, aku dipersilakan duduk.

"Cikgu, result saya ok tak?" aku tak dapat lagi membendung rasa ingin tahu.

"Agak-agak kamu macam mana?" itu jawapannya. Aduh cikgu ni, main teka-teki pulak. Aku dah la nak terkencing ni, jantung pulak rasa nak tercabut.

"Kalau saya, apapun result saya, saya terima dengan redha. "jawabku ringkas, sekadar menghilangkan perasaan gemuruh.

Guruku tergelak kecil, lantas meletakkan sebuah fail dihapanku.

"Bukalah, result kamu ada dalam fail tu. "

Aku memandang guruku dan kemudian menoleh kearah ummi disebelahku. Ummi tersenyum dan mengangguk perlahan.

"Bismillahirrahmanirrahim... . dengan tangan kanan, aku membuka perlahan fail merah itu. Serentak itu juga, guruku berkata;

"Tahniah, kamu dapat 7A. Walaupun tak dapat straight A, itu dah cukup bagus dan cikgu bangga dengan pencapaian kamu. Untuk pengetahuan, kamu juga antara pelajar cemerlang sekolah.

Saat itu, tak dapat aku gambarkan perasaan ini. Ummi terus memelukku lantas mengucapkan tahniah. Aku pula tidak henti-henti mengucapkan syukur dalam hati. Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih atas nikmatmu hari ini.

Selesai bersalaman dengan guru kelasku, aku pergi mencari rakan-rakan ku. Guruku juga memberitahu bahawa Izzah memperoleh straight A, 12A. Tahniah sahabatku.

Di suatu sudut, aku nampak Izzah dan rakan-rakanlain. Kami berpelukan, mengucapkan tahniah sesama sendiri.

Kami berbual seketika, menunggu rakan-rakan yang lain sambil bercerita arah tujuan selepas ini. Masing-masing dengan pilihan mereka. Ada yang nak sambung form 6, ada yang nak apply maktab dan tidak kurang juga yang mahu terus dalam bidang sains.

Dalam perjalanan pulang, hujan lebat turun. Hujan rahmat, fikirku. Tanganku pula tidak henti-henti membalas SMS yang dikirimkan rakan-rakan dan juga menjawab panggilan dari saudara-mara.

Meraka juga ingin berkongsi kegembiraan yang aku peroleh. Seperti selalu, selepas habis hujan, aku akan menuggu pelangi muncul. Aku bertuah hari itu, aku berpeluang melihat pelangi. Pelangi yang begitu indah. Subhanallah. Hari ini juga aku dapat pelangi yang baik, iaitu keputusan exam SPM.

Benar lah disebalik ujian, ada hikmahnya. Di sebalik hujan, ada pelanginya. Aku suka kau pelangi!

Aku tersedar ketika telefon bimbitku berbunyi mengalunkan lagu SegenggamTabah dari kumpulan UNIC.

"Eh, bukan no Malaysia ni... Izzah Hanani!!!" Hanya itu yang terlintas difikiranku... Sudah lama dia tidak menelefon, kerana itu aku tidak 'save'kan nombornya. Selama ini, kami hanya berhubungan di Facebook atau YM.

Selepas keputusan SPM diumumkan, dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke negara timur tengah dalam bidang kejuruteraan. Selepas membuat persediaan selam 3 bulan di INTEC Shah Alam, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar...

Pada hari pemergiannya ke sana, aku tidak dapat menghantar ke KLIA kerana terikat dengan peperiksaan, cuma dia sempat menelefon beberapa jam sebelum pergi.

Katanya "Ingat, pelangi itu indah, ia pasti akan muncul, lebih indah jika kita sabar menunggunya." Kerana Indahnya Pelangi..

Untukmu Gadis Yang Meningkat Remaja

Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki.

Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.

Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah.

Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.

Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.

Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung.

Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan.

Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"

Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.Dalam Qiamullailnya.Terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukumMu".

Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.

Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.

Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.

Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?"

Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".

Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik.

Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku?

Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu.

Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.

Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah.

Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.

Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan.

Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.

Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak.

Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun).

Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik di beri kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.

Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah.

Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya.

Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!

Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.

Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.

Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini.

Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soaljawab antara adik dan isteri jiran kami itu.

Butirannya seperti ini, soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)

Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!

Isteri jiranku: Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.

Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.

Isteri jiranku: Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?

Annisa: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.

Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?

Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!

Annisa: Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.

Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.

Annisa: apakah hakikat tudung?

Isteri jiranku: Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia.

Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.

Annisa: Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?

Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.

Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua.

Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.

Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.

Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab.

Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah SWT.

Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.

Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu

"buta, tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"

Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.

Hati Itu

Insyirah mengintai ke luar jendela yang dibuka sedikit untuk melihat mentari tengahari. Menyaksikan padang universitinya yang dibasahi hujan yang turun sejak subuh tadi. Sudah tiga hari hujan turun tiada hentinya. Keadaan ini biasa berlaku di negeri-negeri di pantai timur.


Hujung tahun bermakna mulanya musim tengkujuh. Tidak pernah terdetik di fikirannya akan tercampak ke negeri Terengganu ini. Masakan tidak, dari kecil hingga kini, tak pernah dia berenggang dengan keluarganya sejauh ini.

Seluruh perasaan masih merintih akan masalah yang masih memberati fikirannya. Saban masa, dia bersungguh-sungguh berdoa agar Allah membendung perasaan kasihnya terhadap seseorang yang membuatkan hatinya kini gundah gulana. Alangkah merananya dia dalam keadaan ini. Hatta ibarat terkena minyak pengasih.

"Ya Allah, suburkanlah cintaku pada-Mu.." rintih Insyirah.

Insyirah terduduk dan beristighfar.

"Susahnya bila ada masalah hati ni," keluh Insyirah.

Dia mengeluh sambil tangan menarik kerusi belajar. Usai duduk, dia mencapai buku mikrobiologinya. Otak sudah diset untuk menyiapkan lab report yang tertunggak sedari pagi tadi dek kerana melayan lamunan yang entah apa-apa. Seketika, dia membaca doa belajar yang ditampal di dinding meja studinya.

Sedang tangan ligat menulis introduction of morphology dan characteristic of bacteria pada kertas kajang, azan Zohor berkumandang dari masjid berdekatan. Sayup-sayup saja kedengaran laungan kemegahan itu dek kerana kedudukan masjid itu yang jauh.

Habis saja dia membaca doa selepas azan, dia mengejutkan Aishah, rakan sebiliknya yang sedang tidur. Qailullah (tidur sebentar sebelum waktu Zohor) katanya.

"Sha, Sha bangun. Dah azan dah.." sambil memanggil, dia mengoyang-goyang bahu Aishah.

Usai solat zuhur berjemaah di surau asrama yang dipimpin oleh seorang muslimin, Insyirah masih berteleku di atas sejadah. Memikirkan masalah 'hatinya'.

'Ya Allah, kenapa masalah ini juga yang terbayang-bayang? Berdosanya aku mengabaikan-Mu.'

Insyirah memejam mata sambil tangan kiri memicit pelipisnya. Tanpa disedari, bibirnya mengeluh. Cukup kuat untuk didengari Aishah yang sedang melipat sejadah.

Aishah memandang Insyirah sekilas.

"Syirah.." Aishah memanggil lembut.

Dalam mata yang masih terpejam, Insyirah masih bermonolog.

'Tu la syirah, kenapa tak jaga pandangan tu..'

"Syirah.." Aishah masih setia memanggil.

"Kan susah sekarang. Bukan kau sendiri tak tahu, daripada pandangan yang tidak terkawallah, hati boleh rosak."

"Syirah.." kening Aishah sudah berkerut.

"Parah ni. Tiga kali panggil tak berjawab."

Lantas, kaki melangkah ke arah Insyirah. Bahu rakannya itu disentuh lembut. Mata Insyirah terbuka. Memandang Aishah yang merenungnya dengan senyuman.

"Masih fikirkan masalah yang enti cerita kat ana semalam?" Aishah akhirnya duduk di sebelah Insyirah. Tangan yang dibahu, dibawa ke jari-jemari Insyirah pula. Digenggam erat.

Insyirah tersenyum tawar tanpa gula.

"Susahlah ukhti nak jaga hati ni. Tak terdaya rasanya" Insyirah meluahkan.

"Ukhti, Ukhti... memanglah susah ukhti nak jaga hati ni. Siapa kata senang? Sebab itu kita kena ada banteng kita sendiri. Ingat tak ceramah Ilaajul Qulub kelmarin? Ingat tak apa ustaz tu cakap. Err...apa nama ustaz tu? Aa Allah...ana lupa pula." Aishah mengaru dagunya sambil matanya memandang dinding surau, cuba mengingati nama ustaz tersebut.

Terimbas seketika ceramah bertajuk "Al-Qalbu kunci dalam mencorakkan peribadi unggul" yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Usuluddin di universitinya. Memang bagus ceramahnya. Terasa bi'ah solehahnya di dewan itu yang rata-ratanya dihadiri kakak-kakak Fakulti Kotemporari Islam(FKI) yang majoritinya bertudung labuh. Ada juga yang berpurdah.

"Ukhti ni... Ustaz Syed Hadzrullathfi lah nama ustaz tu.." Syirah menjawab. Mahu tergelak juga rasanya bila melihatkan Aishah yang bersungguh sangat memikir nama ustaz tersebut.

"Oh ye ke, ana lupa la ukhti. Ha, ingat tak apa ustaz tu cakap untuk menjaga hati ni?"

Insyirah menghela nafas panjang. "Ala Aishah ni, orang tanya dia, dia tanya orang balik."

"Jangan pernah redha dengan maksiat?" Insyirah menjawab kembali dalam nada bertanya.
"Lagi?"
"Tak bersungguh nak berubah?"
"Lagi?" Aishah seronok bertanya sambil tersenyum nipis.
"La...enti ni. Ana tanya enti, enti tanya ana balik." Insyirah menampar bahu Aishah.

Ketawa Aishah pecah.

"Sakitlah ukhti."Aishah memegang bahunya. Terasa sengal seketika.
"Tu la, buli orang lagi."

Aishah menarik nafas dalam. Memandang Insyirah sekilas sebelum memulakan bicara.

"Apa yang ana dapat tangkap pasal ceramah semalam, hati ini ukhti, kalau tak dididik, tak ditarbiyah, tak dipupuk, lama-lama hati kita ini akan kotor. Dan ruang untuk menjadi orang yang ingkar terbuka luas. Cuba enti semak kembali macam mana mutabaah (jadual muhasabah ibadah) enti sampai enti ada masalah hati dengan muslimin ni. Ana kira, andai kita betul-betul menghayati dan menjaga mutabaah kita, insyaAllah, hati kita terpelihara. Betul tak ukhti?"

Insyirah mengangguk. Mengiakan. Seketika cuba bermuhasabah kembali mutabaahnya yang tak terjaga akhir-akhir ini disebabkan terlalu banyak mesyuarat untuk program islamik yang dikendalikannya. Mungkin inilah sebabnya aku jadi begini.

"Enti cakap kat ana semalam, enti mula ada masalah hati dengan muslimin ini bila enti dilantik untuk uruskan program tu kan?"

Sekali lagi Insyirah mengangguk. Ya, dari situlah aku mula kenal dengan muslimin itu.

"Ukhti, enti kena ingat. Yang enti nak buat ni program islamik tau. Nak menyampaikan dakwah kepada masyarakat di luar sana. Andai enti sendiri sebagai pemimpin dah tersilap langkah, berdakwah dengan hati yang lagho, bagaimana dakwah enti nak berkesan?"

Senyuman masih tak lekang dari wajah bersih Aishah.

"Ukhti, ingat tak apa kak Mardiyah pernah cakap masa usrah kita? Dia kata, jangan ingat enti buat maksiat ni, tidak memberi apa-apa kesan dalam hidup kita. Dan ana sangat terkesan dengan ayat tu. Ana ingat sampai sekarang ni."

Insyirah diam tak terkata. Tertunduk dia seketika sambil memintal hujung telekung yang masih tak dibuka. Kini, tinggal dia dan Aishah sahaja di dalam surau tersebut. Jemaah yang lain sudah lama beransur pergi.

"Asas segala kelalaian dan nafsu syahwat adalah kerana kita redha dengan nafsu dan maksiat yang kita lakukan. Dan asas ketaatan kepada Allah adalah kesedaran untuk merubah diri kita. Ana tak nafikan ukhti, dalam kita bermujahadah tak nak melakukan maksiat, ramai antara kita tersungkur kembali. Itu memang fitrah ukhti sebab bila kita nak berubah, kita takkan boleh secara mendadak. Kena perlahan-lahan.."

Insyirah merenung kembali Aishah, cuba menghadam point-point yang dilontarkan.

"Dan itulah yang enti perlu lakukan sekarang ni. Bangkit semula ukhti. Ingat, enti adalah dai'e! Jangan mengalah pada syaitan yang takkan mahu kita bangkit kembali apabila kita dah tersungkur! Cuba ya ukhti. Jangan risau. Ana akan sentiasa bagi sokongan kat enti. Bila hadiri meeting nanti, cuba tajdid (perbaharui) niat dan kawal pandangan."

"Tapi kan ukhti, ana perasan, bila ada meeting je ana akan rasa excited. Entah la mungkin sebab dapat jumpa dengan dia tu? Tapi dalam masa yang sama, ana cuba jaga pandangan. Ana tak tahulah ukhti. Kadang-kadang terserempak dengan dia pun ana dah jadi tak betul," Insyirah akhirnya bersuara.

"Astaghfirullahal'azim Syirah..jangan macam tu. Rosak hati enti nanti bila enti berterusan begini. Ingatlah ukhti, sifat soleh muslimin tu, Allah yang ciptakan. Maka cintailah Dia yang menciptakan sifat soleh itu sendiri. Ana faham masalah enti ni. Bukan menimpa enti sorang sahaja. Bahkan, menimpa juga para dai'e di luar sana yang gagal menjaga hati dalam melakukan dakwah."

"Jangan putus asa, Insyirah. Allah Maha Bijaksana. Kita sama-sama muhasabah kembali. Cinta Allah itu sendiri kita masih merangkak-rangkak untuk mencari apatah lagi mahu mencari cinta manusia pula. Kita ni sebagai hamba-Nya akan sentiasa diuji. Dan ujian setiap orang itu berlainan."

"Ada yang diuji pelajarannya, ada yang diuji kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa, ada yang diuji kemiskinan, penyakit yang tak dapat diubati..tapi bagi enti, Allah sediakan ujian sebegini," Aishah mengulas panjang.

Alhamdulillah,kata-katanya itu semua ilham daripada Allah SWT untuk disampaikan kepada sahabat di depannya ini. Sayangnya dia pada Insyirah hanya Allah yang Mengetahui. Mungkinkah itu yang dinamakan ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah SWT)?

"Tapi ana tengok kawan-kawan yang lain tu ok je. Tak rasa apa-apa pun bila berdepan dengan muslimin?" Insyirah mencelah.

Aishah menarik nafas sedalam mungkin. Namun, senyum masih menghiasi raut wajahnya.

"Mungkin ada antara mereka yang sudah ada benteng mereka sendiri. Come on ukhti. Evaluasi diri. Jaga mutabaah, sibukkan dengan benda-benda baik, insyaAllah akan buat enti tak fikir-fikirkan masalah ni ok," tangan Aishah merangkul bahu Insyirah.

Insyirah tersenyum kelat. Tanpa berkata apa-apa.

Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun dia sering lalai, tak kuat mengharungi jalan perjuangan ini, tetapi masih ada sahabat yang saling mengingatinya. Sudah pasti ia adalah satu anugerah dari Allah SWT.

Sungguh, Allah itu ada di sisi hamba-Nya.

Sifat pengampun-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

"Dah la tu. Jom pergi makan tengahari. Nanti sakit perut pulak. Pagi tadi makan biskut je kan," kata-kata Aishah mematikan lamunan Insyirah.

Dalam sepi dingin malam, Insyirah muhasabah diri. Usai membersihkan badan tadi, dia mengerjakan solat sunat. Berdoa dan bersujud kerana dirinya terasa jauh daripada kemanisan ibadah.

Dia akui, belakangan ini, dia sudah hilang kemanisan dalam solatnya, zikirnya dan tadabbur Al-Qurannya.

Terasa diri hina kerana sibuk menagih cinta manusia yang ternyata bersifat fana. Dan kini, di sepertiga malam ini, dia menyembah dan bersujud pada Dia yang memiliki segala cinta.

Dia rindukan saat dan rasa nikmatnya ibadah itu. Sungguh, dia ini hakikatnya hamba Allah yang tak punya apa-apa.

Dia tahu benar, andai hambaNya kembali dengan selangkah langkahan taubat, pastinya Dia mengampunkan dosa hambaNya. Namun, disebabkan nafsu, hatinya menafikan kemurahan sifat Tuhan sang pencipta.

Syira, syira..tidakkah kau nampak semua itu?

Mata terasa panas.

Insyirah bersyukur kerana Allah masih memaut hatinya ke arah kebenaran. Apa pun takdir yang menimpa dirinya adalah atas kehendak Allah swt. Maka, sebagai hamba yang fakir, dia wajib redha dan ikhlas.

Insyirah menoleh ke arah Aishah yang masih lena. Dia memandang wanita itu dengan segumpal perasaan sayang yang mendasari jiwanya kala ini. Sebagai manusia biasa, jauh di lubuk hati, terdetik satu cetusan rasa kagum dengan peribadi Aishah yang begitu menjaga cinta yang belum layak lagi diserahkan kepada mereka yang tidak halal.

Apatah lagi mereka berdua masih lagi bergelar mahasiswi. Cita-cita perlu didahulukan daripada cinta itu sendiri.

Kejarlah cita-cita sebelum mengejar cinta. Kejarlah cinta Allah yang kekal abadi.

Pandangan mata Insyirah masih tertumpah pada Aishah. Roomatenya itu selalu mendoakan dan membantu dirinya menghadapi pertarungan ini. Juga mebimbing dia ke jalan kebenaran yang diredhai Allah.

Bibir diketap. Hatinya sayu mengenangkan dosa-dosa. Akhirnya, titisan jernih mengalir jua di pipi wanita itu. Lama sudah dia membelakangi Allah.

Ya Allah, ampunkanlah aku yang hina ini. Tak tertahan rasanya ya Allah dugaanMu ini. Ku pohon ya Rahman, jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada dunia dan seisinya. Ya Jabbar, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Rahim, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka, jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.

Jadikanlah cintaku kepadaMu lebih aku utamakan daripada cintaku kepada keluargaku, diriku sendiri dan dunia seisinya. Hidupkanlah aku dengan cintaMu dan jadikanlah aku bagiMu seperti apa yang Engkau cintai.

Ya Allah, jadikanlah aku mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu. Aku memohon perlindunganMu daripada cinta yang sia-sia. Aku hambaMu yang lemah ya Rabb. Tak mampu menolak ujian hati sebegini andai tiada bimbingan dan kekuatan daripadaMu.

Ucapan taubat itu benar-benar ikhlas dilafazkan. Rintihan taubat menjadikan seseorang hamba dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa. Dosa adalah penyakit dan istighfarlah syifa'nya. Bagi mengelakkan hati menjadi lalai maka dengan istighfar, insyaAllah, berupaya menjadikan seseorang hamba semakin menebal takwa dan imannya. Itulah yang cuba dilakukan Insyirah.

******

Dua tahun sudah berlalu. Masa berjalan begitu pantas. Udara sejuk bumi Scotland mengelus lembut pipi Insyirah. Terasa baru semalam kaki memijak bumi orang putih ini. Rasa baru semalam berpisah dengan umi, abah, opah, kak long, adik-adik dan semestinya Aishah.

Terbangnya dia ke bumi Scotland ini untuk menyambung masternya di University of Edinburgh, Scotland dalam bidang microbiologi.

Dia membuka tingkap apartment. Sekarang ini musim sejuk dan salji turun dengan lebat. Tergelak dia tatkala mengingatkan dirinya yang sangat teruja melihat salji pertama kali di depan mata.

Terasa sejuk, dia mengenggam tangan. Asap nipis keluar daripada mulutnya. Pandangan mata tumpah pada sesuatu di jemari kanan. Bibir mengukir senyuman manis. Cincin belah rotan tersarung kemas di jemari halus wanita itu.

Ya, dia tidak keseorangan di bumi Scotland ini. Ada suami yang menemani. Seorang lelaki yang halal untuk dicintai. Benarlah, sekiranya cinta sebelum nikah itu betul-betul dipelihara, kemanisannnya akan sangat dirasai setelah bernikah. Ada hikmahnya mengapa dia diuji dengan ujian hati dahulu. Dia selepas itu lebih berhati-hati agar cintanya tidak dilempiaskan pada yang sia-sia.

Duhai diriku, ingatlah Allah di mana-mana saja, nescaya Allah tidak sekali-kali melupakanmu. Sujudlah pada Allah, berlindunglah dari segala kejahatan yang nyata mahupun tersembunyi, dari kejahatan seluruh makhluk dan paling penting, berlindunglah pada Allah daripada kejahatan diri sendri. Memang perit bermujahadah itu tapi yakinlah, perjalanan yang sukar pasti ada hikmahnya. Bersabarlah...

Biarkan Allah yang mengatur segala...
Semuanya akan baik-baik saja...
Semua Akan Indah Pada Waktunya...

Air Kosong Penawar Pelbagai Penyakit


Kajian para saintis mendapati amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai banyak manfaat.

Japanese Medical Society misalnya berjaya membuktikan dalam kes-kes tertentu, amalan ini mampu memulihkan penyakit termasuk yang serius.

Diantara penyakit yang termasuk dalam penyelidikan persatuan perubatan di negara matahari terbit itu ialah sakit kepala, sakit-sakit badan, sistem jantung, artritis, degupan jantung yang pantas, epilepsi, lemak berlebihan, bronkitis, tibi, meningitis, buah pinggang dan jangkitan pada air kencing.

Bagaimanapun amalan minum air kosong sebaik jaga dari tidur ini perlu mengikut beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya.

Minum empat gelas air (160 ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum memberus gigi.
Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan atau minum apa-apa untuk 45 minit.
Selepas 45 minit anda boleh makan dan minum seperti biasa.
Selepas 15 minit mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam jangan makan atau minum untuk tempoh dua jam.
Bagi pesakit yang lanjut usia dan tidak larat minum empat gelas air sekali gus diperingkat permulaan, mereka boleh memulakan kaedah rawatan ini dengan meminum air secara berperingkat sehingga mampu mencapai empat gelas sehari.
Kaedah rawatan dipercayai mampu merawat pelbagai penyakit dalam tempoh tertentu:

1.Tekanan darah tinggi - 30 hari
2.Gastrik - 10 hari
3.Diabetes - 30 hari
4.Sembelit - 10 hari
5.Kanser - 180 hari
6.Tibi - 90 hari.
Pesakit artritis hanya perlu mengikuti rawatan tersebut untuk tiga hari. Rawatan ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan kecuali diperingkat awal pesakit mungkin kerap buang air kecil.

Mengapa Muslim Perlu Sihat Dan Cergas?


Islam merupakan agama yang merangkumi seluruh kehidupan termasuk jasmani. Seorang muslim itu bertanggungjawab terhadap setiap aspek dalam kehidupannya. contohnya saya; saya adalah seorang anak, seorang abang dan seorang suami yang bakal menjadi seorang ayah tidak lama lagi. Dengan kesemua tanggungjawab ini, sudah semestinya ia menjadi kewajipan untuk diri saya memastikan kesihatan dan kecergasan sentiasa dijaga. Tanpanya, bagaimana untuk saya tunaikan tangggungjawab tersebut?!

Contoh: Bagi mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji, sudah tentu mereka perlukan tenaga dan kecergasan yang baik. Alhamdulillah saya sudah beberapa kali dapat menunaikan umrah tetapi kadangkala sedih melihat ramai yang kurang upaya dari segi kecergasan fizikal sehingga menggunakan kereta (sebaiknya jalan kaki) atau pitam dan macam-macam masalah lain berkaitan isu kesihatan.

Dalam satu hadis, ia mengatakan bahawa 1 per 3 daripada perut kita perlu diisi dengan makanan, 1 per 3 yang lain perlu diisi dengan air manakala 1 per 3 yang lain adalah udara untuk bantu kita bernafas. Daripada hadis tersebut, kita dapat belajar bahawa kita tidak sepatutnya makan terlalu banyak.

Mengikut catatan sirah, Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang manusia yang sihat atau 'fit.' Pastinya Nabi kita sihat bukan kerana pergi gimnasium hari-hari tetapi adalah melalui kehidupannya sebagai seorang muslim. Kesihatan dan kecergasan bukanlah berhubung kait dengan gimnasium tetapi ia adalah cara hidup kita. Menjadi seorang muslim adalah cara hidup. Bagi saya, ia cukup mudah; menjadi seorang muslim bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ia juga melibatkan penampilan kita. Oleh sebab itu, saya perlu betul-betul menjaga kesihatan.

Lima Contoh Kesihatan dan Kecergasan Dalam Islam

1. Ibadah Haji dan Umrah.

Sekali lagi, ini contoh yang memang jelas kerana untuk menunaikan ibadah semasa umrah lagi-lagi ketika waktu haji sememangnya memerlukan kecergasan dan penjagaan fizikal diri. Tanpa fitness, memang sukar!

2. Puasa.

Puasa mempunyai banyak kelebihan. Ia memerlukan fokus, disiplin, kesederhanaan, kawalan diri dan mementingkan penjagaan badan, minda and kerohanian. Tetapi tanpa penjagaan kesihatan yang baik, ibadat puasa pun menjadi suatu perkara yang sukar.

3. Sembahyang.

Kalau kita fikir, setiap kali anda sembahyang anda sebenarnya melakukan senaman ringan selama 4-5 minits ataupun 20-25min sehari. Walaupun ia tidaklah senaman yang berat tetapi tak kira umur, ia "memaksa" seseorang untuk berdiri, sujud (strecthing) dan melibatkan keseluruhan anggota badan.

4. Sunnah nabi.

Pelbagai sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan simbolik kepada senaman, kesihatan dan kepentingan penjagaan diri sepanjang hayat Baginda. Sebagai seorang muslim, kita selalu merujuk kepada pengajaran sunnah... jadi kenapa tidak pula mengikut gaya hidup Baginda yang aktif dan cergas?

5. Al-Quran

Seperti sunnah, Al-Quran adalah panduan kehidupan seorang muslim. Dan walaupun quran tidak menyuruh anda mengunjungi gimnasium atau berdiet, ia mementingkan keserderhanaan dalam pemakanan (balanced diet), jangan membazir dan menjaga kesihatan diri.

Untuk itu, kecergasan yang penjagaan kesihatan diri sudah tentu menjadi tanggungjawap setiap muslim.

Keadilan dan Kepedulian


Tidak pedulisme, mungkin satu perkataan baru buat anda. Apa yang pasti elemen ini begitu kuat dilihat dalam masyarakat mutakhir ini.

Tidak pedulismenya kita pada jiran tetangga menyebabkan masalah keadilan sosial kian meruncing.

Tidak pedulismenya ibu bapa menyebabkan anak-anak terabai keperluan kasih sayang.

Dalam arena Malaysia ke arah pembangunan dan pembaharuan Wawasan 2020, wajarkah pembangunan negara dalam pelbagai bidang diteruskan dengan mengenepikan pembangunan jiwa?

Masyarakat kian parah dengan gejala negatif yang tidak pernah berkurang malah terus-menerus bercambah bagaikan cendawan.

Bukan lagi suatu mimpi anak berumur sebelas tahun mampu menonton rakaman video lucah bersama abangnya yang baru berumur 12 tahun.

Kepercayaan pincang ibu bapa mahupun sesiapa sahaja yang terdekat terhadap anak sendiri mengakibatkan tiada pemantauan serius terhadap aktiviti harian anak-anak kerana kesibukan mencari harta dunia.

Pengharapan seratus-peratus dalam tugas mendidik dengan mudah diletakkan di bahu guru-guru mahupun pembantu rumah yang pastinya tidak mungkin dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik ibu bapa kandung sendiri.

Tujuh jam anak-anak di sekolah bukanlah masa puncak untuk melentur buluh dari rebungnya, peranan ibu bapa lagi tujuh belas jam menjadi persoalan.

Kepelbagaian karenah anak-anak di sekolah apabila diselidik, dengan mudahnya dapat dikesan berlaku pergolakan di rumahnya sendiri.

Ibu bapa yang mahu guru-guru memberi komitmen kepada anaknya di sekolah seharusnya turut melangsaikan tugasnya bersama-sama anak-anak.

Ambillah peluang dan turutilah nasihat bagaimana berbezanya keluarga bahagia dengan keluarga yang porak-peranda.

Seorang anak kecil di bangku sekolah rendah tidak mampu meluahkan perasaannya secara terus kepada kita sebagai orang tua.

Apa yang mereka lakukan untuk menarik perhatian orang di sekeliling ialah dengan berbuat kesalahan demi kesalahan supaya ada yang sudi menunjukkan kasih sayang.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Andai saluran kasih sayang diletakkan di tempat yang salah, maka ranaplah masa depan anak-anak ini.

Solat tidak dijaga, bacaan al-Qurannya entah ke mana. Rugilah umat Islam sekiranya seorang demi seorang anak bangsa hanyut dibuai keasyikan duniawi.

Terbahak-bahaklah musuh Islam melihat kejahilan kita.

Anak-anak sekalipun sebenarnya tidak boleh menyalahkan ibu bapa apabila dewasa kelak kerana kita berhak memilih dalam hidup ini.

Mahu menjadi golongan mu'minin atau sebaliknya. Hidayah perlu dicari, bukan dinanti.

Kesilapan menuding jari sesama sendiri hanya akan merugikan kesatuan umat Islam. Hal ini sering dilihat di kaca televiyen mahupun media-media yang lain.

Anak, ibu bapa, guru, jiran tetangga serta barisan kepimpinan negara keseluruhannya tidak seharusnya memandang enteng keadilan dan keperluan mendidik antara satu sama lain.

Tidak betul namanya jika anak dipaksa solat lima hari semalam, dihantar ke sekolah agama beratus-ratus ringgit sebulan, tetapi sekalipun tidak pernah menunjukkan diri sendiri dalam menjalankan tanggungjawab beribadah.

Tidak ditunjukkan diri sebagai role model terbaik.

Tidak betul juga jika diperhabiskan jutaan ringgit untuk kempen merokok sekiranya kepimpinan teratas juga menjadikan rokok sebagai kawan baik!

Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Jika tidak, jadilah anak menyaman bapa, bapa menyaman anak sendiri.

Tanpa segan silu. Institusi kekeluargaan yang punah melahirkan masyarakat yang rosak dengan seribu satu masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Berterima kasihlah kepada Allah dan jauhkanlah diri dan keluarga kita daripada perkara yang melalaikan.

Tiang agama iaitu solat usah diperkecilkan keberkatannya.

Cinta Seorang Ayah


Beratnya untuk melepaskan dia pergi. Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkannya.

Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku. Namun, dia bukan selamanya milikku....

Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju kedewasaan. Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai anak....

Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!

Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjaganya sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunnya tanpa rasa letih. Siapakah yang membalut luka hatinya dalam kembara itu nanti?

Aku jauh......bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan. Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.

Cinta bukan bereti mengikat... tetapi melepaskan, membebaskan.

Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk terus membelenggu?

Puteriku... kau terpaksa ku lepaskan.... Apakah si dia mampu menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang bertandang. Bukankah segalanya telah di putuskan sejak dia membisikkan bahawa hatinya telah diserahkan kepada 'si dia'- lelaki pilihannya? Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya telah dimeterai?

Namun... hati ayah.... Hati abah... pasti ada gundah. Sudah pasrah, tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak...terlalu laju untuk dipaku.

Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita yang boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas permulaan?

Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah pilihanmu juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan. Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan!

Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di hatinya setelah dia bersuami nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan yang dijengah sekali-sekala?

Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit...upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah.

Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi......aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi. Aku ingin mendengar lagi suaranya yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu. Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh keletah.

Pergilah. Aku rela. Allah bersamamu.

Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibunya, umminya.

Aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan hamba-hamba-Nya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan mendapat yang terbaik

Hak Seorang Anak

'Hak', hanya tiga huruf namun memberi makna yang sangat besar.

Jika salah percaturan, kita akan disoal di akhirat kelak berkaitan soal hak ini.

Hak ini bukan sahaja diharuskan malahan wajib dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.

Mungkin ramai yang sudah tahu, tapi apa salahnya kalau kita ambil tahu sekali lagi.

Saya percaya kita semua bakal menjadi ibu dan bapa suatu hari nanti.

Jadi sedikit sebanyak kita kenalah tahu berkenaan hak anak.

Saya mohon untuk tidak persoalkan apa yang telah ibu dan bapa kita lakukan (mungkin tidak menepati apa yang kita mahu, jika kita ada alternatif lain untuk menjadi lebih baik, ikutlah yang baik itu) jadi kita praktikkan kepada bakal anak-anak kita. insyaallah..

Sabda Rasulullah saw :
" Di antara tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya ada tiga iaitu pertama memberikan nama yang baik , kedua, mengajarkan tulisan (ilmu dan adab ) dan ketiga mengahwinkan apabila telah baligh".

01. Berikan nama yang baik kepada anak-anak. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh seorang pengkaji Jepun (Dr. Masaru Emoto) telah melakukan ujikaji terhadap molekul-molekul air.

Apabila didekatkan kalimah-kalimah yang baik kepada molekul-molekul air tersebut maka molekul-molekul yang terhasil adalah sangat cantik manakala apabila didekatkan molekul-molekul air dengan kata-kata yang tidak elok atau kata-kata kesat maka molekul-molekul air tadi berubah menjadi sangat buruk dan hodoh.

Ini menunjukkan bahawa tindak balas molekul air terhadap kalimah-kalimah yang baik adalah positif dan sebaliknya.

Badan kita kita juga terdiri daripada 70% air (darah).

Secara logiknya apabila kita memberi nama yang baik kepada anak-anak diambah pula dengan asuhan yang yang mengikut acuan Islam maka insyaAllah, anak-anak yang didik akan menjadi pejuang di jalan ALLAH.


02. Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajarkan ilmu dan adab kepada anak-anak. Ilmu, maksudnya di sini ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak (fardu ain dan fardu kifayah).

Sekarang ni pun, kerajaan telah menetapkan supaya setiap anak yang berusia 7 tahun di hantar ke sekolah rendah.

Bagi ibu bapa yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara atau denda sehingga RM 5000 (Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar pada ketika itu tahun 2006).

Bukan sikit denda yang dikenakan, nilainya boleh buat bayaran permulaan untuk membeli kereta.

Adab pula merujuk kepada perbuatan yang baik berhubung dengan percakapan, perbuatan mahupun amalan.

Adab juga boleh diertikan sebagai akhlak mulia atau baik. Akhlak yang baik adalah bukti kukuh keluarga yang mulia.

Sabda Rasullullah

"Sesungguhnya seseorang kamu yang mengajar adab kepada anaknya adalah lebih baik baginya daripada beliau bersedekah setengah gantang setiap hari."

03. Mengahwinkan anak apabila telah baligh. Bila ibu bapa mendapat si anak sudah cukup syarat untuk bergelar isteri atau suami maka si ibu dan bapa bolehlah mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang sekufu yang dinilai dari 4 perkara iaitu agamanya, keturunannya, rupanya dan hartanya.

Baru-baru ni dalam perbualan telefon dengan seorang sahabat. Biasalah di kala usia sudah melangkah ke alam awal dewasa persoalan nikah kahwin ini tidak lari dari topik perbualan.

Kata beliau, 4 perkara yang menjadi penetuan pemilihan jodoh adalah rupa, harta, keturunan dan agama. Dalam zaman serba canggih dan dunia tanpa sempadan hari ini.

1.Rupa, yang kurang cantik boleh menjadi cantik. Yang kurang handsome boleh menjadi handsome kerana begitu banyak produk kecantikan yang dijual di pasaran.
2.Harta, harta boleh dicari dengan kepesatan teknologi dan ilmu. Banyak perniagaan yang boleh diceburi jika mahu apatah lagi kini banyak peluang-peluang perniagaan yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula 9/10 pintu rezeki adalah daripada berniaga.
3.Keturunan, keturunan atau nasab yang ada pada hari ini sudah banyak yang bercampur-baur. Yang berketurunan Syed mahupun Sharifah juga sudah banyak yang berkahwin dengan orang biasa, yang kerabat diraja juga dah banyak yang berkahwin dengan rakyat jelata.
4.Agama, jadi yang tinggal hanyalah AGAMA yang menjadi kayu ukur dalam pemilihan pasangan.
Oleh itu, ibu dan bapa wajib mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang tepat.

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya."

Rasulullah saw bersabda lagi:
"Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi."

Hadis ini lebih merujuk kepada anak gadis, namun kepada si lelaki janganlah kamu menjadi lelaki yang fasik itu.

Namun kita sebagai seorang anak pasti ini yang kita mahukan.

Wahai ayah dan ibuku,

1.Berikan daku makanan daripada sumber yang halal.
2.Sihatkan dan suburkan tubuhku dengan beridah bersama
3.Hindari daku daripada segala bahaya terutama azab neraka
4.Awasi kecenderunganku agar selari dengan syariat
5.Pastikan ilmu fardhu ain daku sempurna
6.Dorongilah daku agar memiliki akhlak yang terpuji
7.Nasihatilah daku dalam menjauhi sifat yang keji
8.Tanamkan rasa bertuhan dan kehambaan di dalam hatiku
9.Suburkan kecintaanku kepada Allah
10.Didiklah daku dengan sunnah Rasullullah
11.Bimbinglah daku dengan ajaran Islam yang lengkap dan sempurna
12.Latih dan Jadikan daku Pejuang Kebenaran
13.Ingatkan daku peranan sebagai khalifah Allah SWT di dunia
14.Doakan daku semoga menjadi anak yang soleh dan solehah.
15.Doakan semoga kita akhirnya berjumpa lagi di Syurga Allah.

Duhai Hawa Sanggupkah Anda Bermadu

Kenapa wanita enggan berpoligami?

Ramai dan kebanyakan isteri paling fobia dengan istilah 'madu', mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk meminta pertolongan bomoh dan melakukan perbuatan khurafat asalkan diri tidak di dua tiga atau empatkan (dimadukan).

Sesungguhnya, 'mengharamkan' dan membenci apa yang dihalalkan oleh agama secara tidak lansung bermakna kita mengingkari suruhan agama. Ini boleh mengundang dosa.

Mungkin ramai yang tidak menyedarinya dan mungkin juga ada yang sedar, tapi berpura-pura tidak tahu, malahan memberi pelbagai alasan dan masih lagi ingin menolak sekeras-kerasnya poligami.

Kenapa para isteri menolak poligami?

Antara faktor utama adalah persekitaran, masyarakat sering menggambarkan perkara yang negatif apabila melibatkan soal poligami, tak kurang ramai yang mencemuh dan memandang serong apabila wanita dimadukan atau bermadu.

Isteri kedua, ketiga dan keempat sering dituduh sebagai perampas, dan sering didoakan agar pernikahan tidak berkekalan.

Siapa yang sanggup terjun ke 'lombong cemuhan dan fitnah?, mungkin ada tapi tak ramai yang sanggup menahan telinga mendengar cemuhan dan kutukan dari masyarakat.

Faktor media dan pengalaman dari mereka yang pernah bermadu, sering menggambarkan hidup yang penuh dengan derita, sengsara dan tunggang langgang setelah bermadu menjadi antara faktor mereka enggan bermadu.

Jarang lelaki dapat berbuat adil dengan isteri-isteri mereka, kerana selalunya niat mereka berpoligami serong, bukan kerana Allah tapi kerana tuntutan nafsu semata-mata, maka, bila nafsu mengawal diri, pasti pincanglah sesuatu institusi.

Ada suami mengabaikan nafkah zahir dan batin isteri pertama setelah ada pengganti yang baru, lebih menyedihkan, isteri pertama di aniaya dan anak-anak menjadi mangsa.

Lelaki sering menjadikan 'Sunnah Nabi' sebagai alasan untuk berpoligami namun malangnya suruhan serta tuntutan Nabi dan agama yang lain-lainnya ditolak tepi dan diabaikan.

Sudahnya, meranalah seluruh isi keluarga. Kebahagiaan yang ingin dikecapi sebaliknya derita yang diperolehi.

Dan mungkin juga, ada satu pihak menangis demi membahagiakan pihak yang lain.

Isteri juga enggan bermadu kerana ada di antara mereka terlupa bahawa setiap apa yang kita miliki di dunia ini adalah semuanya pinjaman dari Dia yang Esa.

Mereka yakin dan percaya, suami adalah hak milik isteri.

Apabila ini terjadi, mereka takut kehilangan hak milik mereka apatah lagi berkongsi hak milik dengan wanita lain.

Emosi yang sembilan gagal dikawal akal yang satu, lalu sering terjadi, mereka lebih rela diceraikan daripada dimadukan. Kedua-duanya halal, tapi satu dibenci dalam Islam dan satu lagi dituntut jika kena caranya.

Namun masih ramai yang tidak menerima secara positif.

Syaitan sudah bersumpah untuk membawa anak cucu adam bersama mereka ke neraka kelak, maka syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan dan memberi perkhabaran palsu kepada manusia.

Syaitan sering membisikkan perkara-perkara yang negatif ke dalam diri manusia maka siapa yang tidak kuat imannya sering tergoda dan terpengaruh.

Malah percaya dengan bisikan syaitan lalu takut dan ragu-ragu untuk berbuat kebaikan dan ketaatan kepada Allah malahan bersenang hati untuk melakukan kejahatan yang bertentangan dengan tuntutan Agama.

Selain itu, manusia sering dihidapi penyakit rohani atau penyakit hati yang sukar di lihat apatah lagi untuk di ubati.

Antara penyakit hati yang paling merbahaya adalah 'keras hati'.

Dimana mereka tidak takut atau gerun bila melakukan kejahatan dan tidak pula berasa seronok bila melakukan ketaatan kepada Allah.

Penyakit hati yang lain pula antaranya adalah tamak, dengki, cemburu, iri hati.

Dan adakalanya, apabila penyakit ini kian parah, mereka sanggup menganiaya manusia lain pula.

Maka, kerana adanya penyakit hati ini, tak ramai antara kita yang sanggup mengambil risiko bermadu atau dimadukan.

Kesimpulannya

Demikianlah antara faktor kenapa kebanyakan wanita enggan berpoligami. Seandainya, punca-punca itu dapat di kikis atau dibuang, nescaya, para isteri tidak lagi gentar dengan istilah bermadu.

Jika semuanya baik lelaki atau wanita sedar hakikat sebenar sebuah pernikahan, insyaAllah, walau apa jua ujian dan dugaan mendatang, sesebuah institusi kekeluargaan itu pasti tetap akan berdiri kukuh.

Pernikahan adalah ibarat sebuah bahtera yang berlayar dilautan luas.

Suami adalah nakhoda dan isteri (isteri-isteri) adalah pembantu.

Jika nakhoda itu bijak mengemudi kapal, bistari mengawal anak-anak kapal, berfikir sebelum membuat sebarang keputusan, tahu arah yang ingin dituju tanpa was-was, InsyaAllah kapal tidak akan sesat dan selamat sampai ke destinasi yang ingin di tuju.
iluvislam.com
Namun, harus diingatkan juga, tanpa bantuan dan persefahaman dari pembantu kapal, bahtera itu mungkin berada statik tiada kemajuan atau lebih teruk dari itu, bahtera itu mungkin akan karam.

Hancur dan musnah.

Dalam pernikahan, mesti ada tolak ansur, perlu ada give and take. Baik isteri mahupun suami haruslah saling menghormati dan saling menghargai. Harus ada yang mendengar bila satu pihak bercerita dan begitu pula sebaliknya.

Perhubungan dua hala adalah penting. Komunikasi antara suami isteri serta anak-anak perlu dijaga, agar jika ada sebarang masalah yang timbul, dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan baik.

Lebih penting dari itu, niat bernikah juga kena betul.

Jangan diselewengkan. Jika niat ikhlas kerana Allah dan agama, insyaAllah walau apa jua dugaan mendatang, tiada apa yang mampu menggoyahnya.

Tidak kira suami bernikah satu atau empat, jika asas agama adalah kukuh, kebahagiaan dalam berumah tangga sedikit pun tidak akan goyah.

Hidup di dunia sementara, kehidupan di akhirat itu kekal abadi. Jadi, harus disematkan dalam diri dan jiwa, cita-cita yang paling utama adalah bahagia di syurga kerana itulah yang paling abadi.

Kita manusia hanya merancang, namun Allah jualah yang Maha Mengetahui. Dalam apa jua tindakan atau keputusan yang diambil, mohonlah petunjuk dari Ilahi. InsyaAllah selamat dunia dan akhirat.

"Madu jangan terus ditelan, hempedu jangan terus dibuang, kerana di sebalik manis dan pahit itu, mungkin ada racun atau penawar yang tersembunyi. "

Izinkan Abang Nikah Satu Lagi...Boleh?

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika.

Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak.

Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang.

Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.

Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang.

Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur.

Buat Lelaki, tanamkan sifat belas dan kasihan kepada wanita yang lemah

Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya.

Kini, anak-anak kian beranjak remaja dan kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin, lalu pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah.

Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah.

Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat.

Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.

Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

"Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.

Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran.

Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya.

Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju.

Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.

Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur.

Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga.

Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Buat Wanita, belajarlah untuk setia kepada hanya seorang manusia iaitu suami

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu.

Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua.

Heh, ini Qistina lah, jangan haraplah jika nak membuli aku.. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu.

Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.

Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah.

Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra.

Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di Masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid dan kemudiannya menghadiri majlis kuliah agama.

Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya.

Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan.

Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji.

Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.

Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah.

Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit.. tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat Kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina.

Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

01. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

02. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...

03. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak.

Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina.

Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abang.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.

Mencari Erti Sebuah Perkahwinan


Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.

Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.

Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.

Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."

Berkahwin Kerana Ibadah

Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.

Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.

Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.

Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.

Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku".

Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.

Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.

Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.

Cinta Dan Kasih Sayang

Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.

Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.

Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap baitul muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.

Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerna firtah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum:30 :

"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."

Tarbiyah Dan Pendidikan

Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali.

Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa.

Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.

Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.

Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung Al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.

Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan iman dan akhlak anak-anak mereka.

Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.

Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 34 bermaksud:

"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan). Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.

Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang.

Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.

Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak.

Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.

Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.

Ibu Bapa Mithali

Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali.

Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan.

Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan Al-Quran yang betul.

Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah SAW.

Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.

Keindahan perkahwinan Baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.

Kehadiran putera dan puteri serta cucu Baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.

Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.

Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri.

Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan.

Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.

Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan.

Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan iman.